Banyak ayat yang menjadi sebab seorang yang dulunya kafir memeluk Islam.
Hal sebegini berlaku sejak zaman permulaan Islam sehingga ke hari ini.
Dari masa ke masa kita temui pelbagai kisah menarik bagaimana seorang
musyrik mendapat hidayah lalu memeluk Islam.
Kisah yang akan dipaparkan di sini adalah mengenai seorang mulhid (orang
yang tidak percaya kewujudan Tuhan) yang sangat-sangat benci kepada
agama dan tidak percaya sama sekali kepada Tuhan. Dia sering mengejek
dan mempersendakan orang-orang yang beriman. Katanya: Kalau betul Allah
itu wujud, kenapa Dia tidak muncul dan menunjukkan diriNya?
Allah
Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui telah memberikan satu
pengajaran yang cukup berkesan terhadap kesombongan hamba yang dungu dan
degil itu.
Pada suatu malam dia didatangi mimpi yang tak
terduga. Dia lemas dipukul ombak di lautan yang bergelora. Dalam
kecemasan berhadapan dengan kematian, tiba-tiba dia menjerit memanggil:
Oh Tuhan!
Jeritan kuat yang terpantul dari mulutnya sendiri itu
membuat dia terjaga. Seluruh tubuhnya menggeletar luar dan dalam, lahir
dan batin. Perasaan hairan menyelinap ke dalam fikirannya, bagaimana
mungkin dia memanggil Tuhan sedangkan dia seorang yang tidak pernah
percaya kepada Tuhan?
Malam berikutnya dia didatangi mimpi yang
sama dan berlaku seperti malam pertama. Dia mula resah dan diserang
perasaan takut dan panic. Akhirnya dia bertekad untuk membaca al-Quran.
Mulalah dia membaca al-Quran dengan penuh minat. Apabila tiba satu ayat,
وَإِذَا
مَسَّكُمُ ٱلضُّرُّ فِى ٱلۡبَحۡرِ ضَلَّ مَن تَدۡعُونَ إِلَّآ إِيَّاهُۖ
فَلَمَّا نَجَّٮٰكُمۡ إِلَى ٱلۡبَرِّ أَعۡرَضۡتُمۡۚ وَكَانَ ٱلۡإِنسَـٰنُ
كَفُورًا
Yang bermaksud: “Dan apabila kamu terkena bahaya di laut,
(pada saat itu) hilang lenyaplah (dari ingatan kamu) makhluk-makhluk
yang kamu seru selain dari Allah; maka apabila Allah selamatkan kamu ke
darat, kamu berpaling tadah (tidak mengingatiNya); dan memanglah manusia
itu sentiasa kufur (akan nikmat-nikmat Allah)”. (Al-Isra’ 17:67)
dia
benar-benar terpukau. Fikirannya diselubungi tanda tanya bagaimana
kata-kata ini boleh dikeluarkan oleh seorang manusia lebih 1400 tahun
lalu, pada hal dia (Nabi Muhammad) hidup di padang pasir, tidak pernah
belayar di dalam laut? Bagaimana dia tahu keadaan yang dialami oleh
orang yang hampir lemas serta dapat menceritakan dengan begitu tepat
sekali?
Maka tiada lagi alasan kecuali akur kepada jawapan yang
lahir dari fitrahnya sendiri. Kitab ini tidak mungkin ditulis oleh
manusia, apa lagi seorang yang buta huruf seperti Muhammad. Jadi dari
manakah datangnya kitab suci ini kalau tidak dari Tuhan Yang Maha
Mengetahui yang cuba dipadamkan dari fitrahnya selama ini?
Leburlah
segala kesombongan. Lenyaplah kekufuran. Dia tunduk, akur kepada
kebenaran. Sesungguhnya tiada Tuhan yang layak dan berhak diimani dan
disembah kecuali Allah.
Sahabat, usah keberatan untuk
menghadiahkan kawan yang belum Islam senaskhah al-Quran (pastinya yang
mengandungi makna dalam bahasa yang difahami kawan itu). Siapa tahu
hadiah itu menjadi sebab dia mendapat hidayah dan memeluk Islam? Andai
benar terjadi anda akan mengutip pahala yang lebih baik daripada dunia
dan segala isinya!
Tidak ada komentar:
Posting Komentar